Saturday, 13 June 2009

Kebakaran Hutan Meningkat

PEKANBARU 12 Jun - Bilangan kebakaran hutan di pulau Sumatera, Indonesia telah meningkat dan asapnya ditiup angin ke beberapa kawasan di Malaysia sehingga menyebabkan berlaku jerebu yang menjejaskan penglihatan.

Seorang pegawai Indonesia berkata, 47 titik panas dikesan di wilayah Riau, Sumatera berdasarkan pemantauan dengan satelit, dan suhu mencecah paras yang luar biasa setinggi 35 darjah Celsius.

"Bilangan titik panas yang menandakan kebakaran berpotensi meningkat lagi dan keadaan jerebu bertambah buruk jika tidak ada hujan," kata ketua agensi meteorologi, klimatologi dan geofizik di ibu kota Riau, Pekanbaru, Blucer Dolok Saribu.

Jerebu dijangka berterusan sehingga Ogos kerana musim hujan selalunya bermula pada September.

Penganalisis meteorologi di Pekanbaru, Rahmad Tauladani berkata, jerebu telah dibawa angin ke Malaysia tetapi setakat ini tiada penerbangan dibatalkan kerana jarak penglihatan sejauh 6,000 meter masih di atas paras minimum 1,000 meter bagi membolehkan penerbangan.

Beliau memberi amaran, cuaca panas sekarang meningkatkan risiko kebakaran boleh merebak ke kawasan tanah gambut. - Reuters/Utusan

No comments:

Post a Comment

Tidak perlu memberi komen selepas 19 November 2009 kerana Unit Bencana RTM sudah tiada lagi.