Tuesday, 2 June 2009

Runtuh - Ikram & MBPJ

Perkembangan tragedi bangunan runtuh di Seksyen 14, Petaling Jaya, Khamis lalu.

Kesemua 75 orang daripada 11 buah keluarga di kawasan berhampiran sudah berpindah seperti yang diarahkan oleh pihak berkuasa.

Penolong Pengarah Kawalan Bangunan, Majlis Bandar Raya Petaling Jaya (MBPJ), Hajah Azura Ghazali ketika dihubungi wartawan Unit Bencana RTM berkata, kesemua mereka kini ditempatkan di hotel berdekatan atau di rumah saudara mara dan rumah sewa.

Dalam pada itu, pegawai Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) melakukan siasatan terperinci setiap hari di tapak tempat kejadian untuk mengumpul maklumat mengenai punca kejadian bangunan tersebut runtuh pada Khamis lalu.

Laporan berkenaan dijangka diserahkan kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pada Jumaat ini untuk tindakan susulan.

Hajah Azura juga berkata, kesemua 75 penduduk yang diarah berpindah tidak dibenarkan kembali ke rumah masing-masing sehingga kawasan berkenaan dipastikan benar-benar selamat.

Semalam, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja Selangor (DOSH) yang memulakan siasatan berkata, pihaknya akan melantik pakar untuk membantu jawatankuasa siasatan menentukan punca sebanar keruntuhan berlaku, sehingga mengorbankan 7 pekerja warga Indonesia.
.
[Disiarkan dalam Semasa@1, 2 Jun 2009, 3:00 petang, TV1]

No comments:

Post a Comment

Tidak perlu memberi komen selepas 19 November 2009 kerana Unit Bencana RTM sudah tiada lagi.