Thursday, 20 August 2009

9 Anak Kapal Belum Ditemui

Sehingga petang 19 Ogos 2009, sembilan anak kapal MT Formosa Product Brick yang hilang masih tidak ditemui manakala tiga daripada 16 yang ditemui selamat sudah keluar dari hospital dan ditempatkan di salah sebuah hotel di Port Dickson.

Dalam pada itu, tiada tumpahan minyak di kawasan kebakaran kapal tangki Liberia yang membawa muatan 58,000 tan cecair naphtha dalam kejadian yang berlaku kira-kira 30 kilometer dari pantai pelancongan Port Dickson pada malam 18 Ogos 2009.
.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Mazlan Othman berkata, Jabatan Alam Sekitar masih memantau perairan itu walaupun tumpahan minyak tidak berlaku.
.
"Sehingga jam 6 petang, 19 Ogos 2009, api masih marak di atas kapal yang kini sudah mula senget dan pasukan penyelamat masih belum dapat menaiki kapal itu," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Port Dickson.

Sebuah lagi kapal yang terbabit dalam kemalangan itu, MV Ostende Max dari Britain, telah ditunda ke tempat yang selamat di mana tiga orang krewnya di hantar ke Hospital Port Dickson untuk rawatan akibat kecederaan.
.
Ketiga-tiga rakyat Poland berusia 38, 59 dan 62 tahun itu melecur di lengan dan seorang daripada mereka patah tulang rusuk akibat terjatuh dari tangga selepas berlaku perlanggaran.
Polis telah menyoal siasat anak-anak kapal yang terselamat tetapi Mazlan enggan menyatakan kerana terdapat laporan yang bercanggah di antara krew kapal yang terbakar, MT Formosa Product Brick serta MV Ostende Max. -- Bernama

No comments:

Post a Comment

Tidak perlu memberi komen selepas 19 November 2009 kerana Unit Bencana RTM sudah tiada lagi.