Thursday, 20 August 2009

9 Anak Kapal Belum Ditemui

Sehingga petang 19 Ogos 2009, sembilan anak kapal MT Formosa Product Brick yang hilang masih tidak ditemui manakala tiga daripada 16 yang ditemui selamat sudah keluar dari hospital dan ditempatkan di salah sebuah hotel di Port Dickson.

Dalam pada itu, tiada tumpahan minyak di kawasan kebakaran kapal tangki Liberia yang membawa muatan 58,000 tan cecair naphtha dalam kejadian yang berlaku kira-kira 30 kilometer dari pantai pelancongan Port Dickson pada malam 18 Ogos 2009.
.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Mazlan Othman berkata, Jabatan Alam Sekitar masih memantau perairan itu walaupun tumpahan minyak tidak berlaku.
.
"Sehingga jam 6 petang, 19 Ogos 2009, api masih marak di atas kapal yang kini sudah mula senget dan pasukan penyelamat masih belum dapat menaiki kapal itu," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Port Dickson.

Sebuah lagi kapal yang terbabit dalam kemalangan itu, MV Ostende Max dari Britain, telah ditunda ke tempat yang selamat di mana tiga orang krewnya di hantar ke Hospital Port Dickson untuk rawatan akibat kecederaan.
.
Ketiga-tiga rakyat Poland berusia 38, 59 dan 62 tahun itu melecur di lengan dan seorang daripada mereka patah tulang rusuk akibat terjatuh dari tangga selepas berlaku perlanggaran.
Polis telah menyoal siasat anak-anak kapal yang terselamat tetapi Mazlan enggan menyatakan kerana terdapat laporan yang bercanggah di antara krew kapal yang terbakar, MT Formosa Product Brick serta MV Ostende Max. -- Bernama

Wednesday, 19 August 2009

IPU - 19 Ogos 2009

Kualiti udara di seluruh negara semakin baik apabila hanya empat kawasan yang dipantau oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sederhana pada 19 Ogos 2009, berbanding lapan dalam bacaan pada petang 18 Ogos 2009.

JAS melalui laman webnya melaporkan sehingga 11 pagi, kawasan-kawasan yang merekodkan IPU sederhana adalah di Nilai (54), Balok Baru, Kuantan (51), Kota Kinabalu (56) dan Samarahan (55).

Beberapa kawasan mencatatkan IPU sihat dengan di Pahang, Jerantut (20) dan Indera Mahkota, Kuantan (36) manakala di Pulau Pinang, Perai (31) dan Seberang Perai 2 (33), di Kuching dan Limbang, Sarawak masing-masing merekodkan bacaan 25 dan 26.

Di Selangor iaitu di Shah Alam (35) dan Petaling Jaya (37) manakala di Putrajaya (30), Cheras (38) dan Batu Muda, Kuala Lumpur (29). - Bernama

Operasi Mencari Diaktifkan

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah mengaktifkan Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat sembilan anak kapal yang masih hilang berikutan kejadian perlanggaran dua kapal dagang di perairan Selat Melaka malam tadi (18 Ogos 2009).

Pegawai Perhubungan Awam APMM Faridah Shuib dalam kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur berkata bahawa pihaknya telah menggerakkan asetnya dari Daerah Maritim (DM) Linggi, DM Pelabuhan Klang dan Stesen Udara Subang sejak lewat malam 18 Ogos 2009 bagi memadamkan saki baki kebakaran kapal tangki minyak milik MT Formosa Product Brick dan MT Ostende Max di 10 batu nautika barat daya Port Dickson.

Katanya, maklumat awal yang diterima mengatakan kapal tangki MT Formosa Product Brick dengan muatan 58,000 metrik tan minyak naftar yang dalam pelayaran dari United Kingdom ke Singapura telah berlanggar dengan kapal MT Ostende Max yang sedang keluar dari Pelabuhan Port Dickson menuju ke Singapura.

Aset-aset APMM yang terlibat dalam oeprasi itu adalah empat bot kilat iaitu satu dari DM Linggi dan tiga dari Port Klang serta dua helikopter N3 Dauhphin.

Turut terbabit, Polis Gerakan Marin (PGM) dari Tampoi, sebuah pesawat Unit Udara Polis dan dua dari Jabatan Laut Pelabuhan Klang serta Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). - Bernama

16 sudah selamat

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supritendan Mazlan Othman mengesahkan bahawa sehingga awal pagi tadi, 16 daripada 25 krew kapal tangki minyak yang terbakar di Selat Melaka sudah diselamatkan.

Mereka diselamatkan antara pukul 2:33 pagi dan 3:00 pagi, 19 Ogos 2009 oleh sebuah kapal kontena yang kebetulan melalui lokasi kejadian.

Operasi disambung ...

Operasi memadam kebakaran kapal tangki dan mengesan krew yang hilang diteruskan pada pukul 7:00 pagi, 19 Ogos 2009.
.
Demikian maklumat yang diberikan oleh pegawai di Bilik Gerakan Operasi Teluk Kemang sewaktu dihubungi Unit Bencana RTM sebentar tadi.
.
Pegawai berkenaan juga enggan mengulas lanjut.

Kapal Tangki Minyak Terbakar

Unit Bencana RTM menerima laporan bahawa sebuah kapal tangki minyak dari Liberia yang didaftarkan atas nama A8GJ6 Famosa Product Brick terbakar selepas berlanggar dengan kapal kargo MRG N3 Ostende Max dari Britain kira-kira pukul 9:15 malam, 18 Ogos 2009.

Kejadian berlaku di Selat Melaka, sekitar 37 kilometer dari pantai Port Dickson, Negeri Sembilan ketika kedua-dua kapal dalam perjalanan ke Singapura.

Dalam kejadian itu, 15 daripada 25 krew (23 rakyat China dan 2 rakyat Taiwan) dilaporkan berjaya menyelamatkan diri sementara sepuluh yang lain dikhuatiri hilang.

Mereka berjaya menurunkan bot kecil dari kapal tangki untuk menyelamatkan diri sebelum dibawa ke darat.

Pasukan penyelamat dilaporkan menghadapi kesukaran mendekati kapal tangki disebabkan tumpahan minyak dan api yang marak.

Krew Unit Bencana RTM sedang membuat liputan dan akan menghantar berita dari semasa ke semasa untuk siaran radio dan televisyen RTM.

(Foto: hiasan sahaja)

Tuesday, 18 August 2009

IPU, Pagi 18 Ogos 2009

Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada pagi 18 Ogos 2009 mencatatkan keadaan “baik” dan “sederhana” di seluruh negara.

Menurut kenyataan Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU pada pukul 7:00 pagi menunjukkan 38 kawasan (79%) mencatatkan bacaan “baik” (0-50) manakala 10 kawasan (20%) mencatatkan bacaan “sederhana” (51-100).

Bacaan pada pukul 11:00 pagi pula menunjukkan 37 kawasan (78%) “baik” dan 10 kawasan (21%) “sederhana”.

Kawasan-kawasan yang mencatatkan IPU “sederhana” pada pagi 18 Ogos 2009 adalah Larkin Lama (Johor), Muar, Pasir Gudang, Port Dickson, Balok Baru (Kuantan, Pahang), Samarahan (Sarawak), Kuala Selangor, Pelabuhan Klang, Batu Muda (Kuala Lumpur) dan Cheras.

Berita Mutakhir Luar Negara

MOSCOW 18 Ogos - Sekurang-kurangnya lapan orang mati apabila loji hidroelektrik terbesar di Rusia yang sedang dibaik pulih pecah, manakala 65 yang lain hilang selepas bilik enjin di loji berkenaan ditengelami air.
.
HURGHADA, Mesir, 18 Ogos - Empat rakyat Rusia yang menyertai kegiatan menyelam skuba berhampiran pusat pelancongan di bandar Marsa Alam di sini hilang di Laut Merah, kata pegawai pelancongan.
.
Ikuti siaran berita di Radio dan Televisyen RTM untuk laporan penuh dari semasa ke semasa.

Wednesday, 12 August 2009

Diisytihar Selamat

Kawasan berlakunya insiden kebocoran gas amonia di Tanjung Karang, Selangor diisytiharkan selamat.

Demikian disahkan Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norizan Saad yang dihubungi Unit Bencana RTM pada pukul 9:10 pagi, 12 Ogos 2009.

Susulan Insiden Gas Bocor

Susulan insiden kebocoran gas di sebuah kilang memproses baja ikan di Bagan Pasir, Tanjong Karang, Selangor pada 11 Ogos 2009.
.
Kerja-kerja pembersihan gas amonia oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat Selangor dilaporkan selesai sekitar pukul 2:00 petang hari yang sama.

Manakala anggota sekitar 15 keluarga yang tinggal dalam lingkungan jarak 100 meter dari lokasi kejadian diarah berpindah sebagai langkah berjaga-jaga.

Mayat enam pekerja dan penduduk yang terkorban dijadual dihantar dari Hospital Tanjong Karang ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk bedah siasat.

Lima individu yang terselamat dalam insiden berkenaan pula menerima rawatan lanjut di Hospital Sungai Buloh.

Siasatan Pasukan Bomba dan Penyelamat Selangor mendapati, kebocoran gas amonia mungkin disebabkan kerosakan kompresor pada sistem penyejuk pada kolah tempat penyimpanan ikan di kilang baja terbabit.

Insiden kebocoran gas amonia ini merupakan yang pertama di Tanjung Karang dan diklasifikasikan sebagai “kes kematian mengejut” (SDR).

Pekerja dan penduduk sekitar yang terbunuh dikenal pasti sebagai dua warga Bangladesh bernama Sekendar Ali dan Mumin Mia; serta empat pekerja tempatan bernama Lim Kean Chew, Lim Kim Soon, Sia Liang Huat dan Gan Ayong.

Manakala lima pekerja kilang berkenaan yang dilaporkan pengsan dikenalpasti sebagai tiga rakyat Bangladesh bernama Abdul Rashid, Waduk dan Samsul Hud; serta dua pekerja tempatan bernama The Ah Low dan Yeon Kok Teng.

Hujan adalah Rahmat

Hujan di sekitar Lembah Klang selama lebih dua jam bermula sekitar 5:30 pagi, 12 Ogos 2009 dijangka mengurangkan keadaan jerebu serta menurunkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU).

Tuesday, 11 August 2009

Gas Bocor di Tanjung Karang

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norizan Saad yang dihubungi Unit Bencana RTM mengesahkan bahawa 4 lelaki tempatan dan 2 lelaki warga Bangladesh dikenalpasti terbunuh selepas terhidu gas ammonia berikutan insiden kebocoran yang berlaku di Tanjung Karang, Selangor sekitar pukul 8:50 pagi, 11 Ogos 2009.

Krew RTM kini berada di tempat kejadian untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Bilik Operasi Unit Bencana RTM melalui talian 03-22827448.

Amaran Angin Kencang & Jerebu

Amaran angin kencang dan ombak tinggi di perairan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang sehingga 13 Ogos 2009.

Ketampakan rendah kurang 5 kilometer di perairan Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri disebabkan jerebu dijangka berterusan sehingga 13 Ogos 2009.

Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM)

Amaran Tsunami

Amaran tsunami akibat gempa bumi di Kepulauan Andaman DIBATALKAN pada pukul 6:20 pagi, 11 Ogos 2009. Orang ramai tidak perlu risau. - Jabatan Metreologi Malaysia (JMM)

Friday, 7 August 2009

IPU - 6 Ogos 2009

Kualiti udara di beberapa kawasan di Sarawak dan Melaka berada pada tahap tidak sihat apabila indeks pencemaran udara (IPU) mencatatkan bacaan melebihi 100.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataan akhbar bertarikh 6 Ogos 2009 memberitahu, kualiti udara di empat bandar utama Sarawak merosot dengan bacaan IPU yang tinggi iaitu Miri (106), Sibu (112), Bintulu (114) dan Samarahan (115).

Turut mencatatkan bacaan IPU tidak sihat ialah bandar Melaka iaitu 112.

Sementara itu, 30 daripada 49 kawasan yang dipantau di seluruh negara mencatatkan IPU sederhana.

Antara kawasan tersebut ialah Tawau (56), Kapit (76), Paka (54), Tanah Merah (53) dan Batu Muda, Kuala Lumpur (61).

Dalam pada itu, 11 kawasan mencatatkan IPU baik iaitu Ipoh (35), Taiping (33), Seri Manjung (38), Perai (31), Universiti Sains Malaysia (21), Seberang Jaya (36), Bakar Arang (26), Alor Setar (47), Langkawi (35), Kangar (24) dan Sandakan (40).

Klasifikasi bacaan IPU adalah seperti berikut: 0-50 (baik), 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Tuesday, 4 August 2009

Gas Bocor di Loji LNG Bintulu

BINTULU 4 Ogos — Seorang pekerja di Loji Gas Cecair Asli Malaysia (MLNG) di Tanjung Kidurong di sini, mati dalam satu kejadian kebocoran gas yang berlaku hari ini.
.
Sumber-sumber daripada Petronas Sarawak mengesahkan kejadian itu berlaku kira-kira pukul 4.30 petang tadi apabila pekerja berkenaan bersama-sama dua orang rakannya sedang membuat pemeriksaan ke atas sebuah paip besar di loji berkenaan.
.
Ketiga-tiga pekerja berkenaan dikatakan pengsan selepas menghidu gas yang bocor itu sebelum kejadian berkenaan disedari oleh pekerja-pekerja lain.
.
Sehingga pukul 10 malam ini, keadaan dua orang pekerja terlibat masih belum diketahui.
Sumber-sumber di Hospital Bintulu pula memberitahu Bernama bahawa mereka dimaklumkan berkenaan dengan kejadian itu pada kira-kira pukul 5 petang sebelum sebuah ambulan berkejar ke tempat kejadian.
.
Sementara itu, pengurus perhubungan awam MLNG Shamsur Taha semasa dihubungi Bernama berkata satu kenyataan rasmi akan dibuat oleh Petronas secepat mungkin berikutan insiden itu.
.
Sumber: BERNAMA/Utusan Malaysia